Saturday, December 5, 2009

Allahyarhamah Puan Hjh Hazizah Talib Dalam Kenangan


Ini adalah merupakan ‘update’ terkini blog ini setelah lebih sebulan terbiar sepi. Sepi kerana masa penulis untuk bersantai mengulit ‘laptop’ untuk hal-hal yang tidak berkait dengan tugasan kerja agak terhad.


Kesepian juga mungkin mulai dirasai oleh keluarga Tn Hj Yusof Kamarudin setelah pulangnya Allahyarhamah Hjh Hazizah Talib ke rahmatullah pada hari Isnin 9 November 2009 yang lepas.

Laman BKK mengucapkan takziah kepada Tn Hj Yusof di atas pemergian isteri tercinta ke alam baka juga kepada Sdr Hafiz, Sdri Intan, Sdr Sabri dan Sdr Azhar serta menantu dan cucu-cucu beliau di atas kehilangan ibu tersayang dan nenek yang pengasih.

Kehilangan itu bukan sahaja dirasakan oleh keluarga HJ Yusof malah turut dirasai oleh seluruh kerabat BKK. Selepas pemergian Allahyarham Badrul Hisham, Allahyarhamah Hjh Hazizah adalah kalangan generasi pertama BKK yang terlebih dahulu dijemput menghadap tuhan Rabbul Jalil.

Allahyarhamah telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada ramai kerabat BKK. Penulis sendiri telah merasakan didikan Allahyarhamah. Pengalaman tinggal bersama beliau selama beberapa tahun dari usia yang amat muda telah banyak meninggalkan kesan positif kepada penulis hingga sekarang.

Pn Hjh Norlida, Sdri Norzaihan, Sdr Zamzuri adalah antara yang pernah merasakan air tangan Allahyarhamah. Pernah dijaga, dididik dan menerima asuhan dari Allahyarhamah. Jasa-jasa Allahyarhamah kepada penulis dan lain-lain yang pernah tinggal dengan beliau amat besar dan tidak mungkin dapat dibalas. Malah sukar diungkap dengan kata-kata.

Terimakasih kami dari lubuk hati yang paling dalam kepada Kak Ngah atau Mak Ngah .

Penulis akan sentiasa merindui kemesraan, keramahan dan tidak lupa masakan Allahyarhamah. Mungkin kerana lama tinggal dengan beliau, lidah penulis sudah amat mesra dengan masakan beliau. Terakhir, penulis bersama isteri dan anak-anak sempat mencicip buat kali terakhir dodol dan capati yang disediakan oleh Allahyarhamah pada Hari Raya Idul Fitri yang lepas. Memang tiada tandingan nya.

Kepada keluarga Tn Hj Yusof, kehilangan Allahyarmah memang tiada gantinya. Allah menyayangi beliau, pemergian nya dipermudahkan Allah. Beliau hanya mengalami masalah komplikasi pernafasan dalam tempoh yang amat singkat sebelum roh nya berangkat ke alam barzakh.

(saat pengebumian di Makam Sheikh Hj Mohd Said, Seremban)

Kepada Tn Hj Yusof sekeluarga, kita doakan semoga Allah memberikan kesabaran dan ketabahan kepada mereka di dalam meneruskan kehidupan tanpa isteri dan ibu tercinta. Akhirnya, hanya kepada Allah yang maha kuasa kita berdoa semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama ahli-ahli Firdaus.



ALFATIHAH.

1 comment:

ilhamhainy said...

saya merasa sgt2 sedih membaca entri ini.namun inilah hakikat yg mesti kami terima.terima kasih kepada semua warga BKK.(minta izin copy paste gambar2 yg ada di entri ini)