Wednesday, April 8, 2009

Lembaran dari Perth

Assalamu'alaikum....
Bulan Mei, Jun dan Julai bakal menyaksikan Bang Long dan Kak Chik menerima menantu. Ayu, Shukri dan Shahir menuju
ke gerbang perkahwinan, tahniah!! Nampaknya, kami tak dapat memeriahkan perkahwinan Ayu, harapannya dapat menatap gambar di Laman BKK jadilah. Insya Allah, kami akan menghadiri perkahwinan Shukri dan Shahir kerana kami akan pulang ke tanah air akhir Jun nanti.

Anak-anak saudaraku, kalian akan melangkah ke kehidupan baru. Sebelum berkahwin, kalian hanya memikirkan tentang diri sendiri - membuat keputusan, membeli-belah, bercuti. Dengan kata lain, segala yang dilakukan untuk diri sendiri. Selepas berkahwin, kehidupan akan berubah - apa sahaja yang kalian lakukan perlu mengambil kira pandangan dan kemaslahatan pasangan dan anak-anak, tidak terkecuali mentua dan ipar-duai. (Ingat: kalian bukan hanya berkahwin dengan pasangan sahaja tetapi dengan keluarganya juga!)

Dalam sesebuah perkahwinan, perkongsian, saling faham memahami, komunikasi dan tolong-menolong sangat penting. Busu masih ingat selepas majlis perkahwinan Busu di Melaka, waktu kami sedang mengemas pinggan mangkuk, salah seorang jiran kami, (dikenali dengan panggilan Mak Aji Eton) memberikan kata nasihat, "hidup suami isteri ni kena tolong menolong, faham-memahami..." .....bagaimana harus kita laksanakan semua itu tanpa komunikasi berkesan dan perkongsian dengan pasangan? Wahai suami, bukanlah tanda anda lemah atau menjatuhkan status anda sebagai suami sekiranya menceritakan masalah kepada isteri sama ada masalah peribadi, kerja dan sebagainya, dan wahai isteri, tidaklah menjatuhkan harga diri seandainya berkongsi dengan suami; kita semua adalah manusia, dan manusia itu tidak sempurna, manusia terdedah melakukan kesilapan. Perkongsian masalah, perasaan, pemikiran juga berkomunikasi dengan pasangan membantu meringankan beban masalah. Ramai yang berkata mereka tidak mahu membebankan pasangan dengan masalah mereka, hakikatnya mereka merisikokan perkahwinan mereka apabila berahsia.

Bayangkan: Anda menghadapi masalah di tempat kerja, mungkin perselisihan faham dengan rakan sekerja, anda tidak seronok untuk bekerja, prestasi kerja menurun, ketua anda mempersoalkan kerja anda, semakin hari anda semakin jengkel, marah dan geram. Secara anda tidak sedari, anda terbawa-bawa masalah ini di rumah, anda menjadi pendiam, muram, pemarah, kurang berinteraksi dengan pasangan dan seterusnya....Pasangan anda turut jengkel dengan anda tetapi tetap mencuba untuk membantu meringankan beban anda, tetapi anda keras hati dan tidak mahu berkongsi masalah anda dengannya. Pasangan anda cuba untuk bersabar, tetapi akhirnya, BANG, gunung berapi meluahkan lavanya!! Pasangan anda tidak boleh menahan kesabarannya lagi....!! Usah dibiarkan perkara ini berlaku dalam perkahwinan anda, sedangkan perkara kecil perlu dikongsi apatah lagi masalah yang besar. Pada satu peringkat, suami atau isteri meyakinkan diri mereka bahawa mereka mengenali dan memahami pasangan masing-masing. Ada yang berkata mereka jujur dan telus dengan pasangan, tetapi apa yang sering terjadi, mereka merahsiakan perasaan sebenar mereka. Oleh itu, untuk mengenali pasangan anda dengan lebih baik perkongsian maklumat seperti apa yang disukai, apa yang tidak disukai perlu dipraktikkan dalam apa jua masa dan keadaan.

Ayu, Shukri, Shahir dan semua yang akan berkahwin serta yang telah berkahwin juga untuk diri saya sendiri, marilah kita bersama-sama mencontohi Nabi Muhammad SAW dan para isterinya ...sentiasa berkasih-sayang, saling faham-memahami, berkongsi, berkomunikasi, bekerjasama, menghiburkan pasangan, melakukakan aktiviti bersama...dan sekiranya mempunyai anak berikan perhatian sepenuhnya kepada mereka. Selamat menempuh alam baru...

Wassalam

1 comment:

BKK said...

peringatan yang amat baik buat bakal pengantin juga kepada pengantin pengantin lama. didoakan kepada yang bakal membangun keluarga agar dapat membina keluarga sakinah mwaddah wa rahmah.