Saturday, April 4, 2009

Kes Tuntutan Taman Desa Gemilang

Pada 2 April, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah meluluskan permohonan Sdr Shahlin Ali dan Sdri Norzaihan bersama 63 orang pembeli rumah Taman Desa Gemilang, Gombak untuk mengisytiharkan bahawa pembatalan Perjanjian jual beli rumah oleh pihak pemaju pada tahun 2006 adalah tidak sah.

Pemaju telah membatalkan perjanjian atas alasan pembeli-pembeli tidak bersetuju untuk melanjutkan tarikh penyerahan rumah yang pada itu dijangkakan akan terlewat. Alasan kelewatan adalah kerana terdapatnya bongkahan batu yang besar ditapak projek yang tidak dijangkakan oleh pemaju. Pemaju berdalih bahawa mereka dilindungi oleh prinsip "force majuere" ataupun kejadian luarbiasa diluar jangkaan. Bagaimanapun, mahkamah telah menolak hujah peguam pemaju dan bersetuju menerimapakai hujahan pihak pembeli.

Mahkamah juga menolak hujahan pemaju bahawa pembeli tidak mempunyai kuasa untuk memulakan tindakan atas alasan terdapatnya serahan hak (Assignment) di antara pembeli dan bank pembiaya di mana mereka berhujah hanya pihak bank pembiaya yang berhak mengambil tindakan. Hujahan ini telah disangkal dan mahkamah telah diyakinkan agar tidak menerima hujahan tersebut.

Walaubagaimanapun, di dalam kes yang menarik perhatian media ini, mahkamah tidak bersedia untuk memerintahkan supaya rumah berkenaan diserahkan kepada pembeli (specific performance) atas alasan rumah rumah berkenaan telahpun dijual kepada pihak kedua dan ketiga. Mahkamah mengambil kira kepentingan pihak pembeli kedua dan ketiga yang mungkin tidak mengetahui pertikaian antara pemaju dan 63 pembeli ini.

Sebagai ganti, mahkamah memerintahkan pemaju membayar pampasan kepada pembeli pembeli meliputi kos kos yang telah dikeluarkan oleh pembeli termasuklah bayaran yang telah dibuat, faedah bank yang ditanggung hingga sekarang, di samping itu mahkamah juga membenarkan faedah sebanyak 8% dikenakan terhadap jumlah pampasan dari tarikh saman dibuat sehingga lah tarikh bayaran dibuat. Kebanyakan pembeli telah membuat bayaran sehingga 35% dari harga rumah.

Pemaju walaubagaimanapun boleh membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam tempoh 30 hari.

1 comment:

N.I.S. said...

Alhamdulillah, terima kasih kepada Abang Yus kerana banyak membantu, sama-samalah kita berdoa agar pemaju tak buat rayuan...:)