Sunday, July 5, 2009

Alumni SKN

Penulis teruja apabila ada teman mengkhabarkan bahawa alma mater Sek Keb Nuri, Johol (SKN ) akan menubuhkan alumni ataupun persatuan murid tua SKN. Selang beberapa hari Penulis terima pula fax dari teman ini surat jemputan dari SKN ke Mini Karnival Sekolah itu pada 4 Julai 2009. Surat itu disertakan pula dengan surat mohon sumbangan. Timbul keinginan untuk mengetahui semacam apakah SKN sekarang. Sekolah yang mengajar Penulis apa itu A, bagaimana rupanya huruf B, yang lurus tegak itu ALIF, bagaimana caranya memegang pensel untuk nantinya bertatih menulis huruf huruf dan angka angka. Penulis tidak pernah masuk tadika (agak aneh menurut ukuran sekarang) jadi di SKN lah semua kemahiran asas bermula.

Juga teruja kerana mendengar ada usaha menubuhkan Alumni SKN. Jika benar, ia membuka platform untuk bertemu rakan rakan lama. Wajar SKN punya Alumni malah boleh dianggap sudah ‘long overdue’. Lihat saja umur SKN. Ditubuhkan pada 1903 SKN bukan saja sudah tua malah sudah sangat renta. Liku liku sejarahnya amat panjang. Bekas pelajar nya ribuan. Yang masih hidup mahu pun telah meninggal. Yang berjaya juga yang tersungkur. Yang menjadi orang juga yang agak kurang berjaya menjadi orang. Yang sudah berkedudukan, berpangkat dan berharta juga yang hanya hidup semampunya mungkin juga melarat malah mungkin saja ada yang jadi sampah masyarakat dan melukut ditepi gantang. Semuanya lahir di SKN. Apa pun mereka dan siapa pun mereka, SKN pasti tersemat dan melekat di hati … tidak akan boleh dibasuh basuh.

[mini karnival berlangsung dari pagi bawa ke petang]

Allahyarham Ayahanda juga adalah lulusan SKN begitu juga kesemua anak anaknya, beberapa menantunya dan sebilangan cucu cucunya. Ramai ahli keluarga BKK pernah menimba ilmu di sini hinggalah sekarang. Kalau masih ingat, semasa Hari Keluarga yang lepas di Port Dickson, Pn Hjh Faridah, Pn Hjh Hasnah dan En Mazlan ada menceritakan pengalaman bersekolah di SKN semasa sessi pengkisahan. Seingat Penulis semasa belajar dulu ada juga Murid Murid Tua memberi sumbangan kepada sekolah ini tetapi organisasi yang teratur rasanya belum ada waktu itu.

[bangunan lama yang masih utuh walaupun kabarnya tidak digunakan lagi]

[laluan teduh ke kantin]

[sebaik memasuki perkarangan sekolah akan disambut oleh gerbang hijau ini]

Alumni , selain berfungsi menautkan kembali silaturrahim antara bekas bekas pelajar, boleh menjadi wadah yang lebih berkesan lagi dalam peningkatan mutu pembelajaran, prestasi sekolah dan murid, infrastuktur, menyumbang idea dan memberi saranan kepada PIBG dan pentadbiran sekolah, membantu mengumpul dana untuk pembangunan dan program sekolah . .. senarai apa yang boleh dilakukan oleh Alumni untuk sekolah dan pelajarnya tidak terhenti di situ. Tergantung imajinasi dan kreativiti Ahli-Ahli Jawatankuasa nya. Penulis angkat topi kepada mereka mereka yang berusaha mendirikan Alumni ini.

[bangunan lama yang masih berfungsi]

[bangunan baru yang tidak sempat dinikmati penulis]

Penulis sempat berbisik kepada teman itu, AJK alumni biarlah hendaknya dari pelbagai lapisan. Bukan hanya bekas bekas pelajar yang punya nama punya gelaran dan pangkat saja kerana khalayaknya juga pelbagai lapisan yang mesti diraikan. Jangan nanti ia hanya menjadi kelab elit berkepentingan.


No comments: