Sebetulnya saya tidak suka menyentuh isu-isu semasa. Saya akan elakkan Laman BKK dari menjadi forum membahas hal-hal yang di luar ruang lingkup BKK itu sendiri. Bagi saya, Laman BKK khas untuk berita keluarga... noktah. Tapi pagi ini sewaktu duduk bersarapan di restoran mamak saya menjadi mual dan muak. Bukan.. bukan kerana roti canai di restoran mamak pagi ini memualkan. Tidak.
Melihat tajuk akhbar muka depan hari ini tak semena-mena naik rasa jelak sampai ke ubun ubun. Roti canai rasa melekat di tenggorok. Tarif elektrik mungkin akan naik. Begitulah lebih kurang maksud tajuk akhbar pagi tadi. Baru saja minggu lepas PM mencanangkan sempena 100 hari pemerintahannya, 11 'hadiah' mesra rakyat diumumkan akan diberi kepada rakyat. Sesuai dengan retorik terbaru "rakyat didahulukan'. Tidak apalah, kita ucapkan lah juga terimakasih walaupun 'hadiah' itu pun sebenarnya memang hak rakyat. Memang kurang tepat dan janggal sekali bila kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat diuar-uarkan sebagai pemberian hadiah. Biarlah... Tidak berapa hari, tambang kenderaan awam, teksi dan bas sekolah diumum akan dinaikkan sehingga 30%. Hari ini kita dikejutkan lagi dengan 'hadiah' terbaru berupa kenaikan tarif elektrik. Itu yang rasa kelat di leher, tak tahu samada nak bersorak gembira atau sebaliknya. Yang lebih tepat rasa seperti dah 'terkena'. Jadi... apa sebenarnya hadiah kerajaan kepada rakyat, meringankan beban rakyat atau semakin membebankan ... mendahulukan rakyat atau mengutamakan rekod keuntungan syarikat GLC... rungut kawan yang sama bersarapan sambil tersedak sedak. Apabila tarif elektrik naik pasti ada kesan berantai nya kepada harga barangan dan perkhidmatan lain yang pasti juga mendesak untuk dinaikkan.
Kalau disemak semula rekod dan penyata kewangan TNB beberapa tahun kebelakangan mungkin kita dapat lihat keuntungan nya sedikit merosot tetapi masih tidak rugi. Masih berbiliun untung nya. Tarif hendak dinaikkan bukan sebab syarikat pembekal letrik itu rugi tapi kerana mahu menambah untung. Mungkin ini lah maksudnya rakyat 'didahulukan', biarlah rakyat yang didahulukan ini lebih dahulu pula menanggung beban. Rakyat semuanya, dari utara sampai selatan, dari timur bawa ke barat, termasuklah warga BKK terpaksa menanggung kenaikan yang bakal dikenakan. Jadi isu ini bukan isu luaran, ia juga isu BKK . BKK pernah satu ketika mengurangkan yuran bulanan kerana negara dilanda kemelut ekonomi. Prihatin dengan beban ahli-ahli keputusan dibuat untuk mengurangkan yuran bulanan. Selepas dikurangkan tetap saja ada ahli ahli yang masih tidak dapat membayar. Kita tidak mahu kenaikan tarif elektrik ini akan menambahkan lagi beban ahli ahli BKK dan kutipan yuran bulanan juga turut merosot.
Bagaimana ... anda masih rasa seperti anak-anak mendapat hadiah atau gula-gula. Atau anda merasa digula-gulakan. Sebentar... tolong panggil mamak tu mintak tambah air suam buat menolak roti canai yang masih degil melekat di kerongkong ni.
1 comment:
rakyat didahulukan tu maksudnya..bagi rakyat dululah yg rasa segala beban kenaikkan...tak perlu soal banyak...'salah siapa?'
Post a Comment