Saturday, December 5, 2009

Perkahwinan Muhammad Nur Ariff Ghazali dan Nur Amalina Saori

(Ariff dan Ina)
Semalam, Jumaat (4/12/2009), Sdr Ariff selamat diijab kabul dengan Ina di Gemencheh. Pertunangan yang diikat pada 4 November 2008 telah diperkukuhkan dengan ikatan kekal perkahwinan. Perkahwinan yang juga mengikat silaturrahim dua keluarga.
Tn Hj Ghazali dan Pn Hjh Siti Rohani sekali lagi dalam tahun ini menerima menantu. Terakhir pada bulan 2 Mei lepas, apabila Nur Ayu berkahwin dengan Nazarudin. Untuk menerima dua menantu dalam jarak waktu yang begitu hampir adalah satu rahmat dari Allah walaupun pasti agak memeningkan dan juga melelahkan.
Hari ini, Sabtu (5/12/2009), pasangan pengantin baru ini akan diarak ke rumah pengantin perempuan. Terpaksalah, rombongan pengantin lelaki berulang dua kali ke Gemenceh untuk acara menghantar hari ini. Kepada yang berkesempatan sila lah ikut bersama dalam rombongan ini.
Minggu depan, Ahad (13/12/2009), Tn Hj Ghazali dan isteri pula akan menyambut menantu di rumah mereka di Gemas.
Kepada Semua warga BKK, jangan lupa, luangkan waktu. Mari lah datang beramai-ramai ke Gemas.

Allahyarhamah Puan Hjh Hazizah Talib Dalam Kenangan


Ini adalah merupakan ‘update’ terkini blog ini setelah lebih sebulan terbiar sepi. Sepi kerana masa penulis untuk bersantai mengulit ‘laptop’ untuk hal-hal yang tidak berkait dengan tugasan kerja agak terhad.


Kesepian juga mungkin mulai dirasai oleh keluarga Tn Hj Yusof Kamarudin setelah pulangnya Allahyarhamah Hjh Hazizah Talib ke rahmatullah pada hari Isnin 9 November 2009 yang lepas.

Laman BKK mengucapkan takziah kepada Tn Hj Yusof di atas pemergian isteri tercinta ke alam baka juga kepada Sdr Hafiz, Sdri Intan, Sdr Sabri dan Sdr Azhar serta menantu dan cucu-cucu beliau di atas kehilangan ibu tersayang dan nenek yang pengasih.

Kehilangan itu bukan sahaja dirasakan oleh keluarga HJ Yusof malah turut dirasai oleh seluruh kerabat BKK. Selepas pemergian Allahyarham Badrul Hisham, Allahyarhamah Hjh Hazizah adalah kalangan generasi pertama BKK yang terlebih dahulu dijemput menghadap tuhan Rabbul Jalil.

Allahyarhamah telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada ramai kerabat BKK. Penulis sendiri telah merasakan didikan Allahyarhamah. Pengalaman tinggal bersama beliau selama beberapa tahun dari usia yang amat muda telah banyak meninggalkan kesan positif kepada penulis hingga sekarang.

Pn Hjh Norlida, Sdri Norzaihan, Sdr Zamzuri adalah antara yang pernah merasakan air tangan Allahyarhamah. Pernah dijaga, dididik dan menerima asuhan dari Allahyarhamah. Jasa-jasa Allahyarhamah kepada penulis dan lain-lain yang pernah tinggal dengan beliau amat besar dan tidak mungkin dapat dibalas. Malah sukar diungkap dengan kata-kata.

Terimakasih kami dari lubuk hati yang paling dalam kepada Kak Ngah atau Mak Ngah .

Penulis akan sentiasa merindui kemesraan, keramahan dan tidak lupa masakan Allahyarhamah. Mungkin kerana lama tinggal dengan beliau, lidah penulis sudah amat mesra dengan masakan beliau. Terakhir, penulis bersama isteri dan anak-anak sempat mencicip buat kali terakhir dodol dan capati yang disediakan oleh Allahyarhamah pada Hari Raya Idul Fitri yang lepas. Memang tiada tandingan nya.

Kepada keluarga Tn Hj Yusof, kehilangan Allahyarmah memang tiada gantinya. Allah menyayangi beliau, pemergian nya dipermudahkan Allah. Beliau hanya mengalami masalah komplikasi pernafasan dalam tempoh yang amat singkat sebelum roh nya berangkat ke alam barzakh.

(saat pengebumian di Makam Sheikh Hj Mohd Said, Seremban)

Kepada Tn Hj Yusof sekeluarga, kita doakan semoga Allah memberikan kesabaran dan ketabahan kepada mereka di dalam meneruskan kehidupan tanpa isteri dan ibu tercinta. Akhirnya, hanya kepada Allah yang maha kuasa kita berdoa semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama ahli-ahli Firdaus.



ALFATIHAH.

Monday, October 19, 2009

Syawal 1430H Dalam Kenangan

Sedar tak sedar, hari ini, sudah penghujung Syawal. Sebulan berlalu hampir tak terasa. Kesyahduan dan nikmat berpuasa semasa Ramadhan semakin jauh dan terasa pudar. Sebulan juga blog ini tidak dijengah. Syawal mengundang pelbagai jenis kesibukan hinggakan blog ini hampir terlupakan.

Sehingga hari ahad semalam, masih ramai yang sibuk dengan rumah terbuka. Minggu depan pun masih ada lagi rumah terbuka, walau sudah diluar Ramadhan.
Syawal sebenarnya bulan mengeratkan silaturrahim. Bulan untuk kita saling menziarahi saudara mara, adik beradik, rakan dan taulan. Mengeratkan silaturrahim memang dituntut. Syawal membuka peluang kepada umat Islam untuk melaksanakan tuntutan itu.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW bersabda : “sesungguhnya rahim itu berasal dari ar Rahman, lalu Allah berfirman: “sesiapa menyambungmu (rahim) maka Aku Menyambungnya (orang yang menyambung silaturrahim) dan sesiapa memutusmu (rahim) maka Aku memutusnya (orang yang memutuskan silaturrahim).” (Riwayat Bukhari).

Dalam hal yang sama, Rasulullah juga bersabda:”Tidak masuk syurga pemutus silaturrahim” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi) dari Zubir bin Muth’sim r.a).

Warga BKK, InsyaAllah, masih tetap berusaha untuk mengekalkan tradisi menyambung silaturrahim di hari lebaran. Bermula dari sebelum tirai Ramadhan jatuh, ramai yang pulang ke kampong halaman. Tidak lupa, ramai yang pulang ke rumah Hj Salleh dan Hjh Leha, rumah pusaka Ibunda dan Ayahanda.

Hari “mantai” menurut orang Negeri Sembilan, merujuk hari melihat anak bulan, yang penuh kesibukan, membakar lemang, merebus ketupat, merendang daging, berkemas rumah dan lain-lain persediaan untuk menyambut ketibaan Syawal. Semua dilakukan bersama. (foto zam dll).


(Sdr Zam tekun mengulit lemang.. jangan hangus bang)


(masih ada yang pakar masak lemang)

Hari Raya pertama, dihabiskan dengan menziarahi saudara mara terdekat. Walau pun dekat tapi bertemu hanya setahun sekali. Busu Soyah, contohnya, penulis sendiri hanya bertemu dengan nya dua tahun dulu. Inilah antara adik beradik Allahyarham Ayahanda yang masih hidup. Selain Busu Soyah rombongan Penulis juga sempat bertamu ke rumah Makcik Ajal. Kedua-dua nya di Lending.

(di rumah arwah Kak Long Kiah)

(Makcik Ajal)


(Busu Soyah)


(Rumah Busu Soyah)


Kedua nya sudah sakit-sakitan. Kami juga ke rumah Arwah Kak Long Kiah. Suaminya juga sudah tidak lagi mengenali tetamunya. Terfikir juga, selama manakah kita akan dapat terus mengenali saudara mara kita.

Penulis juga hanya mengenali Busu Soyah , Makcik Ajal dan beberapa orang anaknya, tetapi cucu dan cicitnya memang kalau berlaga bahu di jalan pasti tidak kenal. Di lebaran ini, disamping menjamu selera, peluang terbuka luas untuk mendekati kembali saudara mara yang jarang bertemu.




(Isteri dan anak bongsu Sdr Amran. .)

(Di rumah Kak Dara)

Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Belajarlah nasab keturunan kamu sehingga kamu dapat menyambungkan silaturrahim. Kerana sesungguhnya silaturrahim menjadi sebab (timbulnya) kecintaan terhadap keluarga (kerabat dekat), banyak nya harta dan bertambah usia” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi dan al Hakim).

Benarlah sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari : “Siapa yang mahu dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah ia menyambung silaturahim”.

(betul kan... raya dan silaturrahim membawa rezki...)

Silaturrahim menjadi sebab terbuka jalan ke Syurga kerana dikurniakan Hidayah dan dikasihi Allah. Dari Abu Ayub Al Ansari r.a bahawa ada orang bertanya kepada Nabi SAW: “Khabarkan kepada ku tentang satu amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga.” Seorang berkata Ada apa dia ? Ada apa dia? “ Rasululah SAW bersabda: “Apakah dia ada keperluan? Beribadahlah kamu kepada Allah, jangan mempersekutukan Nya dengan suatu apa pun, dirikan solat, tunaikan zakat dan bersilaturrahimlah” (Riwayat Bukhari).


Manakala, dengan sebab memutuskan silaturrahim, akan menyebabkan seseorang tidak dapat memasuki syurga kerana dilaknat Allah dan terhijab dari mendapat petunjuk. Firman Allah : “ Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan (silaturrahim)? Mereka itulah orang yang dilaknati Allah dan ditulikan Nya telinga mereka dan dibutakan Nya penglihatan mereka (Muhammad:22-23).

Oleh itu aktiviti berziarah, mengeratkan silaturrahim ini bukan aktiviti di bulan Syawal sahaja, biarlah ia sentiasa berterusan.

Pun begitu, Penulis juga terkilan kerana tidak dapat menziarahi ramai lagi keluarga ibu dan bapa saudara, terutama keluarga yang telah kembali ke rahmatullah seperti Arwah Busu Hassan dan lain-lain.

Juga kepada warga BKK yang tidak sempat diziarahi, Penulis mohon maaf, keran kesuntukan masa. InsyaAllah kita akan bertemu di aktiviti-aktiviti BKK yang akan datang.

Saturday, September 19, 2009

Eid Ul Fitri Al Mubarak 2009

Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan sudah hampir benar di penghujung. Masih ada sisa-sisa beberapa jam untuk merebut rahmah dan keampunan Allah seperti yang dikatakan hadis, Ramadhan itu awalnya rahmah pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan dari neraka.

Esok, InsyaAllah, Syawal pula akan menjelma membawa kegembiraan dan kemenangan kepada hamba Nya yang telah dengan tekun berjuang sepanjang Ramadhan. Berjuang bukan sahaja dengan lapar dan dahaga tetapi juga berjuang melawan nafsu yang selama ini dituntun oleh Syaitan. Kejayaan untuk mereka yang benar-benar menjadikan Ramadhan sebagai medan riyadatul ruhiah, (olah jiwa).

Kita mengharapkan perjuangan warga BKK sebulan Ramadhan ini tidak akan sia-sia dan semoga ibadah, amal dan puasa kita sebulan ini diterima oleh Allah.

Syawal juga membawa bersamanya Hari besar umat Islam, Aidul Fitri, yang dianugerahkan Allah untuk hamba-hambanya yang berjaya melepasi sebulan Ramadhan. Hari lebaran, atau Hari Raya membuka peluang untuk umat Islam merapatkan dan menyuburkan silaturrahim dengan mengunjungi satu sama lain dan saling bermaafan.

Aidul Fitri membawa rahmah kepada warga BKK. Inilah peluang untuk kita berjumpa warga BKK yang mungkin jarang-jarang mengikuti program BKK. Untuk itu, mari kita jadikan rumah Hj Salleh dan Hjh Leha sebagai markaz pertemuan. Rumah pusaka ini, InsyaAllah, selamanya akan terus menjadi lambang ikatan kekeluargaan untuk cucu cicit dan keturunan Allahyarham Ayahanda dan Bonda yang dikasihi.

Laman BKK dan saya peribadi seisi keluarga menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf zahir dan bathin sesungguhnya dari lubuk hati kepada semua warga BKK, dari yang kecil hingga yang besar, dari yang muda hingga yang tua, jika ada selama ini terkasar bahasa terguris rasa terkilan di hati, perkataan dan perbuatan. Mohon juga dihalalkan buat kami sekeluarga apa yang terminum terminum dan sebagainya.

Selamat menyambut Eidul Fitri 1430 H/2009

Thursday, September 10, 2009

UPSR 2009

Hari ini adalah hari terakhir peperiksaan UPSR seluruh negara yang telah bermula sejak dari 8 September lagi. Beberapa orang anak-anak ahli BKK juga turut sama mengambil peperiksaan kali ini. Laman BKK mengucapkan selamat berjaya dalam menghadapi peperiksaan kepada Nursyamimi Bt Rusdi, Ahmad Haziq B Ahmad Fauzi dan Fatin Arissa Soffea Bt. Mohd Aris.

Biasanya apabila anak-anak menghadapi peperiksaan ibu bapa turut sama merasa tempiasnya. Kadang-kadang ibu bapa yang lebih nervous berbanding anak. Sama-samalah kita doakan anak-anak kita telah berjaya melakukan yang terbaik.



Syamimi

Haziq

Fatin