Esok, InsyaAllah, Syawal pula akan menjelma membawa kegembiraan dan kemenangan kepada hamba Nya yang telah dengan tekun berjuang sepanjang Ramadhan. Berjuang bukan sahaja dengan lapar dan dahaga tetapi juga berjuang melawan nafsu yang selama ini dituntun oleh Syaitan. Kejayaan untuk mereka yang benar-benar menjadikan Ramadhan sebagai medan riyadatul ruhiah, (olah jiwa).
Kita mengharapkan perjuangan warga BKK sebulan Ramadhan ini tidak akan sia-sia dan semoga ibadah, amal dan puasa kita sebulan ini diterima oleh Allah.
Syawal juga membawa bersamanya Hari besar umat Islam, Aidul Fitri, yang dianugerahkan Allah untuk hamba-hambanya yang berjaya melepasi sebulan Ramadhan. Hari lebaran, atau Hari Raya membuka peluang untuk umat Islam merapatkan dan menyuburkan silaturrahim dengan mengunjungi satu sama lain dan saling bermaafan.
Aidul Fitri membawa rahmah kepada warga BKK. Inilah peluang untuk kita berjumpa warga BKK yang mungkin jarang-jarang mengikuti program BKK. Untuk itu, mari kita jadikan rumah Hj Salleh dan Hjh Leha sebagai markaz pertemuan. Rumah pusaka ini, InsyaAllah, selamanya akan terus menjadi lambang ikatan kekeluargaan untuk cucu cicit dan keturunan Allahyarham Ayahanda dan Bonda yang dikasihi.
Laman BKK dan saya peribadi seisi keluarga menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf zahir dan bathin sesungguhnya dari lubuk hati kepada semua warga BKK, dari yang kecil hingga yang besar, dari yang muda hingga yang tua, jika ada selama ini terkasar bahasa terguris rasa terkilan di hati, perkataan dan perbuatan. Mohon juga dihalalkan buat kami sekeluarga apa yang terminum terminum dan sebagainya.
Selamat menyambut Eidul Fitri 1430 H/2009
No comments:
Post a Comment