Monday, October 19, 2009

Syawal 1430H Dalam Kenangan

Sedar tak sedar, hari ini, sudah penghujung Syawal. Sebulan berlalu hampir tak terasa. Kesyahduan dan nikmat berpuasa semasa Ramadhan semakin jauh dan terasa pudar. Sebulan juga blog ini tidak dijengah. Syawal mengundang pelbagai jenis kesibukan hinggakan blog ini hampir terlupakan.

Sehingga hari ahad semalam, masih ramai yang sibuk dengan rumah terbuka. Minggu depan pun masih ada lagi rumah terbuka, walau sudah diluar Ramadhan.
Syawal sebenarnya bulan mengeratkan silaturrahim. Bulan untuk kita saling menziarahi saudara mara, adik beradik, rakan dan taulan. Mengeratkan silaturrahim memang dituntut. Syawal membuka peluang kepada umat Islam untuk melaksanakan tuntutan itu.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW bersabda : “sesungguhnya rahim itu berasal dari ar Rahman, lalu Allah berfirman: “sesiapa menyambungmu (rahim) maka Aku Menyambungnya (orang yang menyambung silaturrahim) dan sesiapa memutusmu (rahim) maka Aku memutusnya (orang yang memutuskan silaturrahim).” (Riwayat Bukhari).

Dalam hal yang sama, Rasulullah juga bersabda:”Tidak masuk syurga pemutus silaturrahim” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi) dari Zubir bin Muth’sim r.a).

Warga BKK, InsyaAllah, masih tetap berusaha untuk mengekalkan tradisi menyambung silaturrahim di hari lebaran. Bermula dari sebelum tirai Ramadhan jatuh, ramai yang pulang ke kampong halaman. Tidak lupa, ramai yang pulang ke rumah Hj Salleh dan Hjh Leha, rumah pusaka Ibunda dan Ayahanda.

Hari “mantai” menurut orang Negeri Sembilan, merujuk hari melihat anak bulan, yang penuh kesibukan, membakar lemang, merebus ketupat, merendang daging, berkemas rumah dan lain-lain persediaan untuk menyambut ketibaan Syawal. Semua dilakukan bersama. (foto zam dll).


(Sdr Zam tekun mengulit lemang.. jangan hangus bang)


(masih ada yang pakar masak lemang)

Hari Raya pertama, dihabiskan dengan menziarahi saudara mara terdekat. Walau pun dekat tapi bertemu hanya setahun sekali. Busu Soyah, contohnya, penulis sendiri hanya bertemu dengan nya dua tahun dulu. Inilah antara adik beradik Allahyarham Ayahanda yang masih hidup. Selain Busu Soyah rombongan Penulis juga sempat bertamu ke rumah Makcik Ajal. Kedua-dua nya di Lending.

(di rumah arwah Kak Long Kiah)

(Makcik Ajal)


(Busu Soyah)


(Rumah Busu Soyah)


Kedua nya sudah sakit-sakitan. Kami juga ke rumah Arwah Kak Long Kiah. Suaminya juga sudah tidak lagi mengenali tetamunya. Terfikir juga, selama manakah kita akan dapat terus mengenali saudara mara kita.

Penulis juga hanya mengenali Busu Soyah , Makcik Ajal dan beberapa orang anaknya, tetapi cucu dan cicitnya memang kalau berlaga bahu di jalan pasti tidak kenal. Di lebaran ini, disamping menjamu selera, peluang terbuka luas untuk mendekati kembali saudara mara yang jarang bertemu.




(Isteri dan anak bongsu Sdr Amran. .)

(Di rumah Kak Dara)

Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Belajarlah nasab keturunan kamu sehingga kamu dapat menyambungkan silaturrahim. Kerana sesungguhnya silaturrahim menjadi sebab (timbulnya) kecintaan terhadap keluarga (kerabat dekat), banyak nya harta dan bertambah usia” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi dan al Hakim).

Benarlah sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari : “Siapa yang mahu dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah ia menyambung silaturahim”.

(betul kan... raya dan silaturrahim membawa rezki...)

Silaturrahim menjadi sebab terbuka jalan ke Syurga kerana dikurniakan Hidayah dan dikasihi Allah. Dari Abu Ayub Al Ansari r.a bahawa ada orang bertanya kepada Nabi SAW: “Khabarkan kepada ku tentang satu amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga.” Seorang berkata Ada apa dia ? Ada apa dia? “ Rasululah SAW bersabda: “Apakah dia ada keperluan? Beribadahlah kamu kepada Allah, jangan mempersekutukan Nya dengan suatu apa pun, dirikan solat, tunaikan zakat dan bersilaturrahimlah” (Riwayat Bukhari).


Manakala, dengan sebab memutuskan silaturrahim, akan menyebabkan seseorang tidak dapat memasuki syurga kerana dilaknat Allah dan terhijab dari mendapat petunjuk. Firman Allah : “ Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan (silaturrahim)? Mereka itulah orang yang dilaknati Allah dan ditulikan Nya telinga mereka dan dibutakan Nya penglihatan mereka (Muhammad:22-23).

Oleh itu aktiviti berziarah, mengeratkan silaturrahim ini bukan aktiviti di bulan Syawal sahaja, biarlah ia sentiasa berterusan.

Pun begitu, Penulis juga terkilan kerana tidak dapat menziarahi ramai lagi keluarga ibu dan bapa saudara, terutama keluarga yang telah kembali ke rahmatullah seperti Arwah Busu Hassan dan lain-lain.

Juga kepada warga BKK yang tidak sempat diziarahi, Penulis mohon maaf, keran kesuntukan masa. InsyaAllah kita akan bertemu di aktiviti-aktiviti BKK yang akan datang.

No comments: