Monday, July 6, 2009

STuPiD IMaGInATIoN

Ini ada satu lagi Blog Ahli Keluarga BKK. Saja dipromosikan di sini walaupun tak mintak kebenaran. Rasanya tak de problem kot. Nikmati cerita cerita hidup, pemerhatian dan ada juga disentuh aktiviti BKK dalam lenggok bahasa dan gaya anak muda (bahasa gaul kata orang indon). Ini pandangan golongan muda terhadap BKK dan aktivitinya.
Lawati lah STuPiD IMaGInATIoN di :

Sunday, July 5, 2009

Alumni SKN

Penulis teruja apabila ada teman mengkhabarkan bahawa alma mater Sek Keb Nuri, Johol (SKN ) akan menubuhkan alumni ataupun persatuan murid tua SKN. Selang beberapa hari Penulis terima pula fax dari teman ini surat jemputan dari SKN ke Mini Karnival Sekolah itu pada 4 Julai 2009. Surat itu disertakan pula dengan surat mohon sumbangan. Timbul keinginan untuk mengetahui semacam apakah SKN sekarang. Sekolah yang mengajar Penulis apa itu A, bagaimana rupanya huruf B, yang lurus tegak itu ALIF, bagaimana caranya memegang pensel untuk nantinya bertatih menulis huruf huruf dan angka angka. Penulis tidak pernah masuk tadika (agak aneh menurut ukuran sekarang) jadi di SKN lah semua kemahiran asas bermula.

Juga teruja kerana mendengar ada usaha menubuhkan Alumni SKN. Jika benar, ia membuka platform untuk bertemu rakan rakan lama. Wajar SKN punya Alumni malah boleh dianggap sudah ‘long overdue’. Lihat saja umur SKN. Ditubuhkan pada 1903 SKN bukan saja sudah tua malah sudah sangat renta. Liku liku sejarahnya amat panjang. Bekas pelajar nya ribuan. Yang masih hidup mahu pun telah meninggal. Yang berjaya juga yang tersungkur. Yang menjadi orang juga yang agak kurang berjaya menjadi orang. Yang sudah berkedudukan, berpangkat dan berharta juga yang hanya hidup semampunya mungkin juga melarat malah mungkin saja ada yang jadi sampah masyarakat dan melukut ditepi gantang. Semuanya lahir di SKN. Apa pun mereka dan siapa pun mereka, SKN pasti tersemat dan melekat di hati … tidak akan boleh dibasuh basuh.

[mini karnival berlangsung dari pagi bawa ke petang]

Allahyarham Ayahanda juga adalah lulusan SKN begitu juga kesemua anak anaknya, beberapa menantunya dan sebilangan cucu cucunya. Ramai ahli keluarga BKK pernah menimba ilmu di sini hinggalah sekarang. Kalau masih ingat, semasa Hari Keluarga yang lepas di Port Dickson, Pn Hjh Faridah, Pn Hjh Hasnah dan En Mazlan ada menceritakan pengalaman bersekolah di SKN semasa sessi pengkisahan. Seingat Penulis semasa belajar dulu ada juga Murid Murid Tua memberi sumbangan kepada sekolah ini tetapi organisasi yang teratur rasanya belum ada waktu itu.

[bangunan lama yang masih utuh walaupun kabarnya tidak digunakan lagi]

[laluan teduh ke kantin]

[sebaik memasuki perkarangan sekolah akan disambut oleh gerbang hijau ini]

Alumni , selain berfungsi menautkan kembali silaturrahim antara bekas bekas pelajar, boleh menjadi wadah yang lebih berkesan lagi dalam peningkatan mutu pembelajaran, prestasi sekolah dan murid, infrastuktur, menyumbang idea dan memberi saranan kepada PIBG dan pentadbiran sekolah, membantu mengumpul dana untuk pembangunan dan program sekolah . .. senarai apa yang boleh dilakukan oleh Alumni untuk sekolah dan pelajarnya tidak terhenti di situ. Tergantung imajinasi dan kreativiti Ahli-Ahli Jawatankuasa nya. Penulis angkat topi kepada mereka mereka yang berusaha mendirikan Alumni ini.

[bangunan lama yang masih berfungsi]

[bangunan baru yang tidak sempat dinikmati penulis]

Penulis sempat berbisik kepada teman itu, AJK alumni biarlah hendaknya dari pelbagai lapisan. Bukan hanya bekas bekas pelajar yang punya nama punya gelaran dan pangkat saja kerana khalayaknya juga pelbagai lapisan yang mesti diraikan. Jangan nanti ia hanya menjadi kelab elit berkepentingan.


Friday, July 3, 2009

Salam Ulang Tahun

Bulan Jun telah pun melabuhkan tirainya beberapa hari lalu. Laman BKK masih belum berkesempatan mengucapkan selamat ulang tahun kepada ahli-ahli yang lahir pada bulan Jun. Tapi 'better late than never'. Laman BKK dan penulis secara peribadi mengucapkan selamat berulang tahun dan semoga tambahan umur yang dikurniakan oleh yang maha kuasa akan dipenuhi rahmah, keampunan dan keberkatan.


En Mazlan Hj Kamarudin Lahir Pada 10/6/1960

Pn Hjh Hazizah Talib Lahir Pada 10/6/1952

Naufal Ahmad Azhari Lahir Pada 10/6/1992

En Ahmad Fauzi Hj Kamarudin Lahir Pada 2/6/1963

Pn Nur Ayu Hj Ghazali Lahir Pada 9/6/1982

Sdri Nur Atiqah Hj Abdul Wahab Lahir Pada 11/6/1991

Sdr Mohd Izzudin Badrul Hisham Lahir Pada 13/6/1989

Nurul Asyikin Mohd Rizal Lahir Pada 14/6/2002

Pn Zalifah Hj Ghazali Lahir Pada 21/6/1973

Hj Ahmad Azhari Hj Talib Lahir Pada 22/6/1965

Pn Azizah Bt Yusof Lahir Pada 24/6/1960

Pn Hjh Faridah Hj Kamarudin Lahir Pada 27/6/1952

Sekiranya ada yang tertinggal atau berlaku kesilapan tarikh tolong maklum kepada Laman BKK supaya dapat diperbetulkan.


Monday, June 29, 2009

Rombongan ke Lumut

Beberapa hari lagi, tepatnya hari sabtu 4 Julai 2009 Keluarga Tn Hj Abd Wahab dan Pn Hjh Hasnah akan bertandang ke Lumut, Perak untuk acara akad nikah Sdr Mohd Shahir pula. Tuan rumah menyatakan bahawa rombongan akan bertolak pada pagi sabtu dan akad nikah akan berlangsung pada sebelah petang hari yang sama.


Kepada sesiapa yang berhajat untuk turut serta ke Lumut bolehlah berhubung dengan tuan rumah. Tuan rumah ada menyediakan 11 bilik hotel di Lumut untuk penginapan malam itu. Rombongan akan bertolak pulang dari Lumut keesokan harinya iaitu hari Ahad.

Sunday, June 28, 2009

Kampung Budaya

Sepanjang berada di Kampung Astana Raja Rembau semalam, penulis melihat kesan budaya minangkabau masih melekat terutama di segi seni binaan rumah. Masih banyak rumah-rumah kampung yang bercirikan khas minangkabau dengan bumbung melengkung, binaan dari kayu keras, berserambi dan sesetengahya berbumbung rendah. Pemerhati budaya pasti dapat menemukan banyak sampel sampel rumah yang bercirikan minangkabau yang sekarang sudah identik dengan Negeri Sembilan. Kedudukan Kampung ini yang hampir dengan Melaka juga memberi impak kepada struktur rekabentuk rumah. Pengaruh binaan Melaka paling ketara dapat dilihat pada rumah-rumah yang menggunakan tangga dari batu yang dihiasi jubin berwarna warni meriah mendominasi ruang serambi, ruangan pertama yang akan diinjak tetamu.




Replika Istana Raja Melewar di Astana Raja

Rumah Negeri Sembilan bertangga Melaka

Tingkap luas berdaun dua untuk pengudaraan yang efisien

contoh klasik rumah berbumbung rendah dan berserambi panjang