Saturday, June 20, 2009

50 Tahun SMKA SHAMS

Malam tadi, 19/6/2009, Penulis sempat menghadiri Majlis Makan Malam sempena sambutan Jubli Emas, 50 tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Mohd Said Seremban (SMKA SHAMS). Sekolah lama penulis (1981-1983). Bukan niat penulis mahu mempromosi sekolah ini kerana penulis pernah belajar di sini. Bukan, tak pernah terdetik pun.

Hanya apabila penulis menginjakkan semula kaki ke kampus sekolah setelah hampir 20 tahun dan menyaksikan betapa ramainya bekas bekas pelajar sekolah ini yang telah berjaya dan menjadi 'orang', penulis segera teringat sekolah ini ada juga jasanya kepada BKK secara tidak langsung. Manakan tidak, dari kiraan rambang penulis sedar tidak sedar sudah ada hampir 10 orang ahli keluarga pernah menuntut ilmu di sini.
Di mulai oleh Pn Hjh Leha dan Tn Hj Hamdan. Ketika itu sekolah ini masih dikenali sebagai Sekolah Ugama Menengah Tinggi seremban (SUMT). Kemudian diikuti oleh Pn Hjh Norlida, penulis sendiri dan Pn Norzaihan. Waktu itu nama sekolah telah berubah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Ugama Seremban (SMKU). Persepsi masyarakat ketika itu masih memandang sekolah agama sebagai sekolah 'second grade'. Generasi kedua BKK juga turut memilih sekolah ini sebagai tempat melanjutkan pelajaran menengah. Kumpulan ini termasuklah Ust Zamzuri Salleh, Cikgu Khairul Annuar Salleh dan En Shamsul Akmal Isa. Terakhir dan masih belajar ditingkatan 5 ialah Mohd Safuan mengikuti jejak langkah bapanya, Tn Hj Hamdan. Ketika itu sekolah ini telah ditukar nama kepada nama nya sekarang Sek. Men Keb Agama Sheikh Hj Mohd Said Seremban. Kalau tidak salah bekas Penaung BKK, Allahyarham Hj Hassan Sitam adalah juga salah seorang murid sekolah ini sewaktu sekolah ini masih ditempatkan di Istana Lama Seri Menanti sebelum dipindahkan ke Seremban.

Sejarah berliku sekolah ini bermula dari tahun 1959. dengan ihsan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan ketika itu , Baginda membenarkan Istana lama seri menanti digunakan sebagai sekolah. Apabila jumlah pelajar meningkat, sekolah ini dipindahkan ke tapak sekarang pada tahun 60an. Sekolah ini berubah sedikit demi sedikit. Dari infrastruktur yang tidak memadai malah kadang kadang menyedihkan sekolah ini sekarang telah membesar dengan bangunan bangunan baru. Begitu juga kemudahan asrama. Tiada lagi asrama yang 'wajib' dilanda banjir setiap kali hujan atau pun asrama yang terletak jauh dari sekolah. Pernah pelajar -pelajar lelaki menggunakan mes anggota polis yang tidak digunakan lagi di Rahang sebagai asrama. di segi akademik, sekolah ini telah melahirkan ribuan lulusan cemerlang. SMKA SHAMS sekarang telah dimasukkan ke dalam kategori sekolah kluster cemerlang dan mencatatkan keputusan PMR, SPM dan STP yang amat baik saban tahun. Pengetuanya juga adalah salah seorang pengetua sekolah Malaysia yang telah pun bertaraf Jusa C. Sekolah agama tidak lagi dianggap sebagai tempat buangan. Setiap tahun menyaksikan ibu bapa berebut menghantar anak anak ke sekolah agama dan di Negeri Sembilan SMKA SHAMS adalah antara yang terbaik.

Penulis sempat bertemu rakan-rakan yang telah lebih 20 tahun terpisah. Masing masing mengikut haluan sendiri. Bukan sahaja sekolah telah berubah, teman teman lama juga berubah, pandangan hidup, perawakan, sikap dan yang paling menonjol bahagian perut dan rambut di kepala. Boroi dan rambut semakin menipis.

Semoga SMKA SHAMS akan terus menabur bakti kepada anak bangsa.


3 comments:

ilhamhainy said...

lama juga usia SMKA SHAMS.saya x berkesempatan untuk hadir pada malam tersebut walau da menerima jemputan.

ilhamhainy said...

Anonymous said...'
mintak kebenaran nak pautkan blog ni ke laman bkk. bole tak... pls cnfrm..

-Dipersilakan...dialu-alukan.thankz

shakirah samsudin said...

sekolah saya.. :)