Saturday, July 26, 2008

Panduan untuk Ibu Bapa

Bertemu lagi di arena maya ini...Satu kemudahan untuk berbicara walau kita dipisahkan jarak dan sempadan...kerana kita sedar kita masih satu keluarga dan saling memerlukan. Walau apapun jua rintangan dan halangan untuk satu pertemuan masih ada cara untuk kita saling mengambil berat. Untuk tatapan kali ini, dikongsikan bersama satu panduan untuk para ibu bapa, bakal ibu bapa dan juga nenda. (Artikel ini diterjemahkan daripada rencana yang diterbitkan oleh Women's & Children Health Service, Department of Health, Government of Western Australia, February 2006).

PERKEMBANGAN KEMAHIRAN KENDIRI

Perkembangan kemahiran kendiri adalah satu bahagian penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Kanak-kanak yang mendapat galakan untuk meneruskan keupayaan melakukan sesuatu perkara dengan sendiri dan diberi masa dan sokongan yang penuh untuk membina sikap kendiri ketika waktu makan, berpakaian dan menguruskan diri akan menunjukkan daya inisiatif dan yakin diri ketika bermain dan mempelajari perkara baru. Berdikari juga membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan suasana baru seperti tadika atau pra-sekolah.

Bayi

Bayi mula menunjukkan kemahiran kendirinya apabila dia menggunakan kedua tangannya untuk menyentuh botol susu ketika disusukan atau ketika dia mula untuk memegang sudu dan boleh memegang makanan dengan jari. Bayi yang lebih besar boleh digalakkan untuk 'membantu' membasuh tangan, menanggalkan stokin dan mengangkat kedua tangan untuk menanggalkan baju.

Peringkat Umur 2-3 tahun (Toddler)

Kanak-kanak di peringkat umur ini ingin melakukan segalanya sendiri! Sediakanlah makanan yang mudah dimakan sendiri olehnya dan tidak begitu mengotorkan. Biarkan dia membersihkan dan mengeringkan dirinya sendiri, menggosok gigi, menyikat rambut, mengemaskan barang mainan dan menukar baju. Jangan mengharapkan kerjasama sepenuhnya!Ketika umurnya menjangkau 18 - 24 bulan, perkenalkan penggunaan tandas untuk membuang air kecil dan besar supaya dia dapat membiasakan diri; ada masanya biasakan dia tidak memakai lampin dan sentiasa bercerita dengannya tentang masa untuk ke tandas.

Pra-sekolah (4-6 tahun)

Pengawalan kemahiran yang bertambah baik bermakna kanak-kanak ini dapat memikul tugas yang lebih dari sebelumnya dengan sendiri walaupun pengawasan, galakan dan susulan masih lagi diperlukan. Anak-anak ini boleh menggunakan sudu dan garfu untuk perbuatan yang mudah seperti memotong. Mereka sudah boleh membersihkan diri sendiri,memberus gigi, menyikat rambut menukar pakaian tapi masih memerlukan pertolongan untuk melakukannya dengan sempurna.Menyemat butang, mengikat reben atau tali kasut mungkin masih satu perkara rumit dan belum boleh di lakukan dengan baik sehingga peringkat umur 5 atau 6 tahun.

Apa yang boleh anda lakukan?

  • Jadikan kebiasaan, tugas-tugas harian sesuatu yang menyeronokkan - waktu mandi menyanyi bersama dan meniup buih, geletek kakinya ketika menanggalkan stokin, gunakan waku makan untuk berbual dan melakukan aksi wajah yang melucukan.
  • Galakkan anak anda untuk melakukan aktiviti sendiri - biarkan dia menggunakan sabun untuk membersihkan diri ketika mandi, berikan dia memegang sudu ketika diberi makan atau biarkan dia menanggalkan stokinnya.
  • Yakinkan anak anda bahawa membuat silap adalah 'ok' dan pujilah usahanya untuk menguruskan dirinya sendiri. Anak anda akan berasa yakin untuk mencuba perkara baru yang lebih rumit jika dia berasa selamat bahawa anda tidak berharap dia melakukannya dengan betul setiap masa.
  • Beritahu apa yang anda lakukan - "sekarang kita akan membasuh muka sayang..", "jom kita tanggalkan stokin".
  • Biarkan anak menyaksikan anda dan ahli keluarga yang lain melakukan aktiviti menguruskan diri seperti membasuh muka, menggosok gigi, berpakaian, menggunakan bilik air dan makan.
  • Sediakan masa yang banyak dan secukupnya untuk anak anda melakukan aktiviti pengurusan dirinya.
  • Berikan anak anda peluang untuk mengulangi dan melatih diri melakukan aktiviti-aktiviti tersebut.

No comments: