Saturday, July 26, 2008

Panduan untuk Ibu Bapa

Bertemu lagi di arena maya ini...Satu kemudahan untuk berbicara walau kita dipisahkan jarak dan sempadan...kerana kita sedar kita masih satu keluarga dan saling memerlukan. Walau apapun jua rintangan dan halangan untuk satu pertemuan masih ada cara untuk kita saling mengambil berat. Untuk tatapan kali ini, dikongsikan bersama satu panduan untuk para ibu bapa, bakal ibu bapa dan juga nenda. (Artikel ini diterjemahkan daripada rencana yang diterbitkan oleh Women's & Children Health Service, Department of Health, Government of Western Australia, February 2006).

PERKEMBANGAN KEMAHIRAN KENDIRI

Perkembangan kemahiran kendiri adalah satu bahagian penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Kanak-kanak yang mendapat galakan untuk meneruskan keupayaan melakukan sesuatu perkara dengan sendiri dan diberi masa dan sokongan yang penuh untuk membina sikap kendiri ketika waktu makan, berpakaian dan menguruskan diri akan menunjukkan daya inisiatif dan yakin diri ketika bermain dan mempelajari perkara baru. Berdikari juga membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan suasana baru seperti tadika atau pra-sekolah.

Bayi

Bayi mula menunjukkan kemahiran kendirinya apabila dia menggunakan kedua tangannya untuk menyentuh botol susu ketika disusukan atau ketika dia mula untuk memegang sudu dan boleh memegang makanan dengan jari. Bayi yang lebih besar boleh digalakkan untuk 'membantu' membasuh tangan, menanggalkan stokin dan mengangkat kedua tangan untuk menanggalkan baju.

Peringkat Umur 2-3 tahun (Toddler)

Kanak-kanak di peringkat umur ini ingin melakukan segalanya sendiri! Sediakanlah makanan yang mudah dimakan sendiri olehnya dan tidak begitu mengotorkan. Biarkan dia membersihkan dan mengeringkan dirinya sendiri, menggosok gigi, menyikat rambut, mengemaskan barang mainan dan menukar baju. Jangan mengharapkan kerjasama sepenuhnya!Ketika umurnya menjangkau 18 - 24 bulan, perkenalkan penggunaan tandas untuk membuang air kecil dan besar supaya dia dapat membiasakan diri; ada masanya biasakan dia tidak memakai lampin dan sentiasa bercerita dengannya tentang masa untuk ke tandas.

Pra-sekolah (4-6 tahun)

Pengawalan kemahiran yang bertambah baik bermakna kanak-kanak ini dapat memikul tugas yang lebih dari sebelumnya dengan sendiri walaupun pengawasan, galakan dan susulan masih lagi diperlukan. Anak-anak ini boleh menggunakan sudu dan garfu untuk perbuatan yang mudah seperti memotong. Mereka sudah boleh membersihkan diri sendiri,memberus gigi, menyikat rambut menukar pakaian tapi masih memerlukan pertolongan untuk melakukannya dengan sempurna.Menyemat butang, mengikat reben atau tali kasut mungkin masih satu perkara rumit dan belum boleh di lakukan dengan baik sehingga peringkat umur 5 atau 6 tahun.

Apa yang boleh anda lakukan?

  • Jadikan kebiasaan, tugas-tugas harian sesuatu yang menyeronokkan - waktu mandi menyanyi bersama dan meniup buih, geletek kakinya ketika menanggalkan stokin, gunakan waku makan untuk berbual dan melakukan aksi wajah yang melucukan.
  • Galakkan anak anda untuk melakukan aktiviti sendiri - biarkan dia menggunakan sabun untuk membersihkan diri ketika mandi, berikan dia memegang sudu ketika diberi makan atau biarkan dia menanggalkan stokinnya.
  • Yakinkan anak anda bahawa membuat silap adalah 'ok' dan pujilah usahanya untuk menguruskan dirinya sendiri. Anak anda akan berasa yakin untuk mencuba perkara baru yang lebih rumit jika dia berasa selamat bahawa anda tidak berharap dia melakukannya dengan betul setiap masa.
  • Beritahu apa yang anda lakukan - "sekarang kita akan membasuh muka sayang..", "jom kita tanggalkan stokin".
  • Biarkan anak menyaksikan anda dan ahli keluarga yang lain melakukan aktiviti menguruskan diri seperti membasuh muka, menggosok gigi, berpakaian, menggunakan bilik air dan makan.
  • Sediakan masa yang banyak dan secukupnya untuk anak anda melakukan aktiviti pengurusan dirinya.
  • Berikan anak anda peluang untuk mengulangi dan melatih diri melakukan aktiviti-aktiviti tersebut.

Sunday, July 6, 2008

Imbau Kembali

Assalamu'alaikum warga BKK. Diharapkan semuanya gembira di samping keluarga. Bicara tentang keluarga, ingin diimbau kembali Mesyuarat Agung Dwitahunan kali ke-2 dan Hari Keluarga 2005. Ia telah diadakan pada 30 April 2005 hingga 1 Mei 2005, hari Sabtu dan Ahad, dari pukul 02:00 petang [30 April 2005] hingga 02:00 petang [1 Mei 2005] bertempat di Ixora Permai Resort, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abu Hassan bin Sitam, Penaung BKK.

Acara ini disertai oleh lebih kurang 90 orang terdiri daripada ahli dan keluarga BKK, tetamu kehormat dan penaja. Pelbagai aktiviti diadakan sebagai pengisian majlis seperti tazkirah, malam mesra, sukaneka dan pertandingan mewarna/menulis esei.

Hari keluarga ini diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan tali silaturrahim di antara warga keluarga BKK, di samping beramah mesra dan bersantai, menyatukan dan meningkatkan kerjasama antara semua ahli keluarga seterusnya menghasilkan satu wadah semangat setia kawan dan muhibah antara warga keluarga BKK.

Terima kasih diucapkan kepada semua ahli yang telah menyumbang untuk Tabung Hari Keluarga BKK, Penaja yang bermurah hati menderma dan beberapa ahli yang telah memberikan sumbangan peribadi sehingga program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Semoga acara ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk menambahkan kejelekitan hubungan kekeluargaan, bertukar-tukar pendapat, berkongsi pengalaman dan seterusnya sentiasa memelihara hubungan kekeluargaan agar dapat hidup dengan aman dan harmoni selamanya.

(Sumber berita daripada Biro Tugas-tugas Khas, AJK BKK Sesi 2003/2005)
Peristiwa yang sempat dirakamkan sempena acara ini. Klik pada gambar, akan keluar link Picasa, klik pada gambar yang keluar, bila buffering, tekan butang play.

p/s:Sesiapa yang ada rakaman peristiwa Mesyuarat Agung Pertama di SMA Ampangan dan Dwitahunan kali ke-3 & Hari Keluarga di Jelai Highlands Resort, Bukit Fraser bolehlah emel kepada moderator.

Thursday, July 3, 2008

Pertemuan BKK pada 29 Jun 2008

Sekali lagi pada hari Ahad lepas ahli ahli BKK bertemu di rumah Tn Hj Hamdan di Tampin. Ramai juga yang hadir. Tapi Pengerusi pun ada kata nampak macam muka yang sama je yang datang. Ada juga yang datang agak lewat tetapi dapat juga sama-sama mengikuti mesyuarat. Rizal yang keletihan pulang dari Family day di Genting pun dapat hadir. Abg Wahab yang baru pulih dari pembedahan juga turut sama. Hafiz dengan isterinya Azizah yang masih dalam rawatan kemoterapi pun datang. Kak Norli yang dengar nya juga sedang mengikuti terapi kemoterapi juga sempat mencari ruang untuk sama-sama bersilaturrahim. Mudah-mudahan semangat yang ditunjukkan oleh mereka-mereka ini menjadi ikutan kepada kita semua.

Wa imma pun Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Seperti biasa, mesyuarat bermula selepas masing-masing bersarapan . Terima kasih Tuan rumah. Selesai mesyuarat ada tahlil dengan diakhiri dengan doa oleh Ust Syafawi Al Hafiz.







Ni - Durratun Nafisah anak Ust Syafawi



Ini pulak Mohd Isyraf anak Rizal

Seperti biasa, Kita ucapkan banyak-banyak terimakasih daun keladi kepada tuan rumah yang menyediakan makan tengah hari yang enak sekali. Pertemuan akan datang dijadualkan akan berlangsung di rumah Sdr Shamsul Akmal dan Khairiah di Melaka pada 23 Ogos 2008 mendatang. Mari lah kita sama-sama serbu rumah baru mereka.





penganjur pertemuan akan datang